Monday 16 November 2015

Lagu-lagu Melayu Moden

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Semenjak dua menjak ni, aku rajin pulak tengok youtube, godek-godek tengok latest technology, kadang-kadang search benda-benda yang berkaitan dengan Macbook, hackintosh la, accessories Macbook la. Dan juga kadang-kadang tengok lagu-lagu baru yang ada kat dalam youtube, especially lagu Melayu la sebab lagu Inggeris macam tak minat sangat nak tau unless kalau pernah dengar dan lagu tu best. Huhu..

So kali ni, memandangkan dah lama tak update blog ni, sampai dah bersawang dah, and takde idea sangat nak tulis apa, and untuk memenuhi permintaan isteri tercinta yang nak sangat aku update blog ni, makanya tajuk yang dipilih untuk kali ini ialah, Lagu-Lagu Melayu Moden.

Sambil godek-godek youtube tu, aku pun terjumpa la beberapa lagu Melayu yang aku rasa sangat bagus. Bagus dari segi lirik, dan juga bagus dari segi lagu dan rentaknya. So nak share la sikit lagu apa yang aku suka sangat tu.


1.   Hanya NamaMu - Caliph Buskers




Lirik lagu ni sangat menusuk kalbu. Berkisar tentang seorang yang sentiasa mengharapkan redha Tuhannya. Walaupun ujian kadang-kadang datang menimpa, tetapi iman di dadanya tidak akan pernah runtuh, malah menjadi sumber kekuatan untuk dia bangkit semula meneruskan perjalanan. Dia sangat berharap agar namanya terdiri di kalangan orang-orang yang dipilih oleh Tuhannya dan menjadi tetamu Tuhannya di tamanNya (syurga) nanti.


2.    Cinta Terakhir - WARIS ft Ezad Exists




Lagu ni basically quote point-point penting khutbah terakhir nabi. Antaranya, kembalikan harta kepada pemilik berhak, pengharaman riba, hak suami terhadap isteri dan juga sebaliknya.

--lagi best dengar dengan music video sekali, kat sini--


3.    Bawah 3000 - SSK ft Faizal Tahir

(tak boleh nak letak video, so boleh tengok sendiri kat sini)

Lagu ni pulak cerita pasal kesempitan hidup sebahagian besar rakyat Malaysia, yang mempunyai pendapatan hanya RM3000 sebulan. Dan juga kebimbangan bagaimana nasib mereka-mereka yang pendapatannya bawah dari RM3000. Tapi dalam masa yang sama, lagu ni juga menempelak rakyat supaya sentiasa mencari jalan untuk keluar dari kesempitan hidup, bukan hanya semata-mata memberi alasan. Juga rakyat perlu pandai menguruskan perbelanjaan harian walau sekecil mana pendapatan mereka.


Bagus sebenarnya buat lagu-lagu yang macam dah disenaraikan (padahal 3 je). Dakwah dalam bentuk lagu sangat mudah untuk sampai kepada orang awam. Sesetengah orang tak minat nak dengar nasyid, so kalau kumpulan-kumpulan yang bukan nasyid, buat lagu yang membawa mesej dakwah, insyaAllah akan mudah sampai kepada golongan ini.

Rasanya sampai sini dulu buat masa ini. Akhir kata, KEEP IT UP lagu Melayu!!

- Pengembara tarbawi dalam mencari Tuhannya -

Saturday 8 November 2014

November 8th, 3 months and counting

8 November 2014. Pejam celik pejam celik, dah 3 bulan rupanya aku naik pangkat jadi suami orang. Cepat sungguh masa berlalu, hinggakan aku tidak sedar akan perlabuhannya. Moga aku tidak tergolong dalam golongan mereka yang lalai dan mensia-siakan masa. Oh betapa ruginya golongan itu. Peluang yang diberi untuk membuat bekal untuk kehidupan yang kekal di sana, disia-siakan dengan begitu sahaja. Mungkin mereka tidak sedar bahawa dunia ini hanyalah persinggahan semata-mata. Moga Allah jauhkan kita dari golongan tersebut.

Alhamdulillah, syukur kerana masih bernafas sebagai hamba yang masih punya iman di dada. Masih dikurniakan nikmat mata dimana denganya dapat kutatap wajah isteri kesayanganku ini setiap masa. Indah sungguh ciptaanMu ini. Tetapi dalam keindahan nikmat ini, aku sedar akan tanggungjawab yang dijinjing, oh berat sekali.

Apa perasaan lepas kahwin? Oh kawan, kalau kau berkahwin nanti, kau juga akan menikmati perasaan ini. Perasaan fitrah yang telah Dia tanamkan dalam diri hambaNya. Betapa maha pengasih dan penyayangnya Dia. Benarlah yang dijanjikan, perkahwinan itu akan memberikan satu ketenangan, hidup dipenuhi kasih sayang dan kerahmatan. Sakeenah, mawaddah dan rahmah.

Apa perubahan bila dah berkahwin ni? Kurasakan banyak perubahan yang aku alami. Benar apa yang dikatakan, pasangan kita adalah cerminan diri kita. Bagaimana kita, begitulah pasangan kita, dan sebaliknya. Hidup berpasangan ini sedikit sebanyak akan memberi kesan pada tingkah laku kita. Apa yang pasangan kita buat, kita juga pasti akan terikut-ikut. Dan apa yang kita buat, pasangan kita juga pasti akan terikut-ikut. Jadi biasakanlah berbuat perkara yang baik agar pasangan kita turut berkelakuan yang baik.

Sebelum ni, aku kurang percaya dengan konsep 'betulkan diri kita dulu, lepas tu baru boleh perbetulkan orang lain'. Sekarang baru jelas pada inderaku, kesilapan yang dilakukan oleh pasanganku sebenarnya pernah juga aku melakukan itu. Pabila aku perbetulkan kesilapanku itu, kesannya juga berlaku pada pasanganku.

Hakikat sebuah perkahwinan itu sebenarnya adalah suatu yang sangat indah. Suatu ikatan yang dipenuhi dengan rasa cinta. Cinta itu sifatnya sangat suci. Kitalah yang memilih untuk terus menjaganya agar ia sentiasa suci, atau kita mengabaikannya sehingga jadilah ia kotor, busuk dan menjijikkan. Tetapi apa yang berlaku pada anak muda masa kini, amat menyedihkan hati ini. Masih di bangku sekolah tetapi sudah pandai bercinta, malah melakukan perbuatan yang orang dah kahwin pun tak buat. Sedarlah wahai adik-adik dan sahabat-sahabatku, itu semua hanyalah ilusi semata-mata. Ianya bukan realiti. Cinta sebelum nikah itu hanyalah suatu drama, yang penuh dengan lakonan dan sketsa. Hakikatnya, samada kau menjadi mangsa lakonan atau kau yang sedang berlakon. Sedarlah. Bangkit dari khayalmu. Gunakan tenaga mudamu ke arah yang lebih bermanfaat. Yang boleh menjamin masa depanmu yang cerah.

Perkahwinan itu bukanlah suatu titik penamat, tetapi ianya adalah titik permulaan. Titik permulaan bagi suatu kehidupan yang lebih mencabar. Yang memerlukan dirimu untuk mempunyai semangat juang yang tinggi. Berjuang untuk memastikan bahtera yang kau kemudi itu akan terus membawamu ke destinasi yang indah lagi abadi. Sudah tentu perjuangan ini sangat mencabar. Ombak gelora takkan pernah berhenti. Sekalipun kau dipukul ombak, gagahkan dirimu untuk mengemudi bahteramu agar ia tidak karam di tengah lautan.

3 bulan yang telah berlalu, dengan segala kenikmatan dan ujian kesusahan yang telah aku lalui bersama isteriku, membuatkan aku menjadi lebih dewasa. Lebih matang. Matang untuk meneruskan saki baki hidup di dunia yang fana ini. Perjalanan kami masih jauh. Onak dan duri masih banyak di hadapan sana, yang menunggu untuk kami lalui. Semoga Allah permudahkan perjalan kami untuk bertemu denganNya. Melangkah beriringan tangan, bersama-sama menjejak kaki ke syurga FirdausNya. Amiin ya Rabb.

-Pengembara yang mencari TuhanNya-

Thursday 7 August 2014

Surat dari single Muhammad kepada married Muhammad

Bismillah ar-rahmaan ar-rahiim.

Dengan nama Allah, yang jiwaku berada dalam tanganNya. Setinggi-tinggi syukur ku rafa'kan padaNya.

Malam ini, malam terakhir aku sebagai seorang lelaki bujang. InsyaAllah esok bermulalah fasa baru dalam sejarah hidupku. Bersempena dengan malam yang bersejarah ini, aku mulakan karyaku dengan menulis surat ini kepadamu, sebagai peringatan agar kau tak lupa.

Ucapan tahniah kuucapkan padamu. Alhamdulillah, dengan segala jerih perih yang telah kau lalui, akhirnya kau akan disatukan jua dengan gadis pilihanmu esok. Kutitipkan warkah ini, agar sekiranya sesuatu berlaku dalam rumahtangga mu, kau bisa baca semula warkah ini, muhasabah dan kenang semula segala pengorbanan yang telah kau dan dia berikan dalam membina 'masjid' yang mulia ini.

Pertamanya, ingatlah bahawa isterimu adalah seorang manusia biasa. Manusia yang ada kelebihan dan kekurangan tersendiri. Usah kau harapkan kesempurnaan pada dirinya kerana kau sendiri pun tidak sempurna. Terimalah dia seadanya. Kelebihannya kau gunakan untuk memperbaiki dirimu, dan kekurangannya kau tampal dengan apa yang kau miliki. InsyaAllah kalian berdua akan bahagia selamanya.

Ingatlah, isterimu itu bukanlah sebuah robot. Dia punya perasaan dan dia jugak punya pendapat dan pendirian. Dengarlah segala apa yang dia hendak katakan. Timbang tara pendapatnya. Kerana kau tak semestinya betul setiap masa. Dia adalah isterimu, penemanmu, pendampingmu, jangan pula kau layan dia seperti hamba sahaya mu.

Komunikasi. Komunikasi yang baik adalah perkara yang paling penting dalam rumahtangga. Berkomunikasi lah dengan isteri dan anak-anakmu sebaiknya. Jangan bagi mereka rasa apa yang telah kau rasa akibat dari lemahnya komunikasi.

Sebagai seorang anak lelaki, jangan pernah sekali kau abaikan tanggungjawab mu pada ibubapa mu. Tanggungjawab kau pada mereka tidak lupus walaupun kau telah berkahwin. Sentiasalah bertanyakan khabar mereka. Ambil berat pasal mereka. Makan minum mereka, aktiviti harian mereka. Oh dan jangan lupa, kau akan peroleh ibubapa baru. Ibubapa mertua. Layanlah mereka sebagaimana kau layan ibubapa mu. Anggaplah mereka seperti ibubapa kandungmu. Jaga hubungan baik dengan mereka dan sahabat-sahabat mereka.

InsyaAllah, kalau diberikan rezeki, kau akan mempunyai anak. Ingat! Anak adalah amanah dari Allah. Pelihara dan didiklah khalifah2 Allah ini dengan didikan iman. Asuh mereka supaya mereka menjadi khalifah yang diredhai Tuhan mereka. Satu perkara yang kau perlu ingat, anak-anak akan mudah meniru apa yang mereka lihat berbanding apa yang mereka dengar. Jadi jagalah segala tindakanmu agar mereka tidak meniru yang tidak baik dari dirimu. Aku yakin kau mampu lakukannya.

Kunci kebahagiaan itu terletak pada 3 perkara. Akidah, syariah dan akhlak. Tanamkan iman yang benar dan kukuh dalam jiwa ahli keluargamu. Asuh mereka untuk sentiasa mengikut syariat Tuhanmu. Suburkan dan pelihara akhlak yang baik dalam dirimu dan ahli keluargamu. InsyaAllah dengan izin Allah, kau akan kecapi bahagia di dunia dan akhirat.

Selamat pengantin baru. Semoga kau akan menjadi seorang nakhoda yang mampu mengemudi anak-anak kapalnya supaya sampai ke destinasi yang hendak dituju, iaitulah syurgaNya. Aku yakin kau mampu. Semoga Allah membantumu dalam setiap urusanmu.

*Esok sekali akad je ye ;)

Salam sayang dariku,
Single Muhammad

Jumaat,
8 Ogos 2014,
12 Syawal 1435,
0034.