Saturday 8 November 2014

November 8th, 3 months and counting

8 November 2014. Pejam celik pejam celik, dah 3 bulan rupanya aku naik pangkat jadi suami orang. Cepat sungguh masa berlalu, hinggakan aku tidak sedar akan perlabuhannya. Moga aku tidak tergolong dalam golongan mereka yang lalai dan mensia-siakan masa. Oh betapa ruginya golongan itu. Peluang yang diberi untuk membuat bekal untuk kehidupan yang kekal di sana, disia-siakan dengan begitu sahaja. Mungkin mereka tidak sedar bahawa dunia ini hanyalah persinggahan semata-mata. Moga Allah jauhkan kita dari golongan tersebut.

Alhamdulillah, syukur kerana masih bernafas sebagai hamba yang masih punya iman di dada. Masih dikurniakan nikmat mata dimana denganya dapat kutatap wajah isteri kesayanganku ini setiap masa. Indah sungguh ciptaanMu ini. Tetapi dalam keindahan nikmat ini, aku sedar akan tanggungjawab yang dijinjing, oh berat sekali.

Apa perasaan lepas kahwin? Oh kawan, kalau kau berkahwin nanti, kau juga akan menikmati perasaan ini. Perasaan fitrah yang telah Dia tanamkan dalam diri hambaNya. Betapa maha pengasih dan penyayangnya Dia. Benarlah yang dijanjikan, perkahwinan itu akan memberikan satu ketenangan, hidup dipenuhi kasih sayang dan kerahmatan. Sakeenah, mawaddah dan rahmah.

Apa perubahan bila dah berkahwin ni? Kurasakan banyak perubahan yang aku alami. Benar apa yang dikatakan, pasangan kita adalah cerminan diri kita. Bagaimana kita, begitulah pasangan kita, dan sebaliknya. Hidup berpasangan ini sedikit sebanyak akan memberi kesan pada tingkah laku kita. Apa yang pasangan kita buat, kita juga pasti akan terikut-ikut. Dan apa yang kita buat, pasangan kita juga pasti akan terikut-ikut. Jadi biasakanlah berbuat perkara yang baik agar pasangan kita turut berkelakuan yang baik.

Sebelum ni, aku kurang percaya dengan konsep 'betulkan diri kita dulu, lepas tu baru boleh perbetulkan orang lain'. Sekarang baru jelas pada inderaku, kesilapan yang dilakukan oleh pasanganku sebenarnya pernah juga aku melakukan itu. Pabila aku perbetulkan kesilapanku itu, kesannya juga berlaku pada pasanganku.

Hakikat sebuah perkahwinan itu sebenarnya adalah suatu yang sangat indah. Suatu ikatan yang dipenuhi dengan rasa cinta. Cinta itu sifatnya sangat suci. Kitalah yang memilih untuk terus menjaganya agar ia sentiasa suci, atau kita mengabaikannya sehingga jadilah ia kotor, busuk dan menjijikkan. Tetapi apa yang berlaku pada anak muda masa kini, amat menyedihkan hati ini. Masih di bangku sekolah tetapi sudah pandai bercinta, malah melakukan perbuatan yang orang dah kahwin pun tak buat. Sedarlah wahai adik-adik dan sahabat-sahabatku, itu semua hanyalah ilusi semata-mata. Ianya bukan realiti. Cinta sebelum nikah itu hanyalah suatu drama, yang penuh dengan lakonan dan sketsa. Hakikatnya, samada kau menjadi mangsa lakonan atau kau yang sedang berlakon. Sedarlah. Bangkit dari khayalmu. Gunakan tenaga mudamu ke arah yang lebih bermanfaat. Yang boleh menjamin masa depanmu yang cerah.

Perkahwinan itu bukanlah suatu titik penamat, tetapi ianya adalah titik permulaan. Titik permulaan bagi suatu kehidupan yang lebih mencabar. Yang memerlukan dirimu untuk mempunyai semangat juang yang tinggi. Berjuang untuk memastikan bahtera yang kau kemudi itu akan terus membawamu ke destinasi yang indah lagi abadi. Sudah tentu perjuangan ini sangat mencabar. Ombak gelora takkan pernah berhenti. Sekalipun kau dipukul ombak, gagahkan dirimu untuk mengemudi bahteramu agar ia tidak karam di tengah lautan.

3 bulan yang telah berlalu, dengan segala kenikmatan dan ujian kesusahan yang telah aku lalui bersama isteriku, membuatkan aku menjadi lebih dewasa. Lebih matang. Matang untuk meneruskan saki baki hidup di dunia yang fana ini. Perjalanan kami masih jauh. Onak dan duri masih banyak di hadapan sana, yang menunggu untuk kami lalui. Semoga Allah permudahkan perjalan kami untuk bertemu denganNya. Melangkah beriringan tangan, bersama-sama menjejak kaki ke syurga FirdausNya. Amiin ya Rabb.

-Pengembara yang mencari TuhanNya-