Thursday 7 August 2014

Surat dari single Muhammad kepada married Muhammad

Bismillah ar-rahmaan ar-rahiim.

Dengan nama Allah, yang jiwaku berada dalam tanganNya. Setinggi-tinggi syukur ku rafa'kan padaNya.

Malam ini, malam terakhir aku sebagai seorang lelaki bujang. InsyaAllah esok bermulalah fasa baru dalam sejarah hidupku. Bersempena dengan malam yang bersejarah ini, aku mulakan karyaku dengan menulis surat ini kepadamu, sebagai peringatan agar kau tak lupa.

Ucapan tahniah kuucapkan padamu. Alhamdulillah, dengan segala jerih perih yang telah kau lalui, akhirnya kau akan disatukan jua dengan gadis pilihanmu esok. Kutitipkan warkah ini, agar sekiranya sesuatu berlaku dalam rumahtangga mu, kau bisa baca semula warkah ini, muhasabah dan kenang semula segala pengorbanan yang telah kau dan dia berikan dalam membina 'masjid' yang mulia ini.

Pertamanya, ingatlah bahawa isterimu adalah seorang manusia biasa. Manusia yang ada kelebihan dan kekurangan tersendiri. Usah kau harapkan kesempurnaan pada dirinya kerana kau sendiri pun tidak sempurna. Terimalah dia seadanya. Kelebihannya kau gunakan untuk memperbaiki dirimu, dan kekurangannya kau tampal dengan apa yang kau miliki. InsyaAllah kalian berdua akan bahagia selamanya.

Ingatlah, isterimu itu bukanlah sebuah robot. Dia punya perasaan dan dia jugak punya pendapat dan pendirian. Dengarlah segala apa yang dia hendak katakan. Timbang tara pendapatnya. Kerana kau tak semestinya betul setiap masa. Dia adalah isterimu, penemanmu, pendampingmu, jangan pula kau layan dia seperti hamba sahaya mu.

Komunikasi. Komunikasi yang baik adalah perkara yang paling penting dalam rumahtangga. Berkomunikasi lah dengan isteri dan anak-anakmu sebaiknya. Jangan bagi mereka rasa apa yang telah kau rasa akibat dari lemahnya komunikasi.

Sebagai seorang anak lelaki, jangan pernah sekali kau abaikan tanggungjawab mu pada ibubapa mu. Tanggungjawab kau pada mereka tidak lupus walaupun kau telah berkahwin. Sentiasalah bertanyakan khabar mereka. Ambil berat pasal mereka. Makan minum mereka, aktiviti harian mereka. Oh dan jangan lupa, kau akan peroleh ibubapa baru. Ibubapa mertua. Layanlah mereka sebagaimana kau layan ibubapa mu. Anggaplah mereka seperti ibubapa kandungmu. Jaga hubungan baik dengan mereka dan sahabat-sahabat mereka.

InsyaAllah, kalau diberikan rezeki, kau akan mempunyai anak. Ingat! Anak adalah amanah dari Allah. Pelihara dan didiklah khalifah2 Allah ini dengan didikan iman. Asuh mereka supaya mereka menjadi khalifah yang diredhai Tuhan mereka. Satu perkara yang kau perlu ingat, anak-anak akan mudah meniru apa yang mereka lihat berbanding apa yang mereka dengar. Jadi jagalah segala tindakanmu agar mereka tidak meniru yang tidak baik dari dirimu. Aku yakin kau mampu lakukannya.

Kunci kebahagiaan itu terletak pada 3 perkara. Akidah, syariah dan akhlak. Tanamkan iman yang benar dan kukuh dalam jiwa ahli keluargamu. Asuh mereka untuk sentiasa mengikut syariat Tuhanmu. Suburkan dan pelihara akhlak yang baik dalam dirimu dan ahli keluargamu. InsyaAllah dengan izin Allah, kau akan kecapi bahagia di dunia dan akhirat.

Selamat pengantin baru. Semoga kau akan menjadi seorang nakhoda yang mampu mengemudi anak-anak kapalnya supaya sampai ke destinasi yang hendak dituju, iaitulah syurgaNya. Aku yakin kau mampu. Semoga Allah membantumu dalam setiap urusanmu.

*Esok sekali akad je ye ;)

Salam sayang dariku,
Single Muhammad

Jumaat,
8 Ogos 2014,
12 Syawal 1435,
0034.

No comments:

Post a Comment